Khutbah Jumaat - 15 Jamadilawal 1423H/26 Julai 2002 - Bil:30/2002
MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA
Oleh: Mohd. Nasrul Karim (JAINK)

SIDANG JUMAAT SEKALIAN,
Bertaqwalah kamu kepada Allah de-ngan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Alhamdulillah, berhimpun kita sekali lagi walaupun seolah-olah baru kelmarin kita berada di rumah Allah ini mendengarkan khutbah Jumaat. Masa dirasakan begitu pantas sekali berlalu tanpa kita menyedarinya. Pada hari Jumaat yang mulia ini, marilah kita meletakkan harapan, moga-moga kita dan keluarga terhimpun di kalangan mereka yang sentiasa menurut perintah Allah SWT.
KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,
Dewasa ini terlalu ramai pasangan yang dahagakan dan mengharap untuk melihat keluarga mereka menjadi sebuah keluarga yang bahagia, tetapi pada masa yang sama kita dapati angka perceraian semakin meningkat dan berleluasa. Anak-anak menjadi mangsa dan terbiar di sana sini. Jumlah anak-anak yang meninggalkan rumah juga kian berganda.
Kita tidak bermaksud untuk mencari siapakah yang bersalah dan siapakah yang patut dipersalahkan atau pihak mana yang bertanggungjawab untuk semua kegagalan tersebut, tetapi yang pastinya setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya dan setiap penyakit ada penawarnya, maka marilah kita sama-sama mencari punca dan permulaannya kepada masalah ini, agar kita sama-sama dapat membentuk sebuah keluarga bahagia di dalam rumahtangga masing-masing, Insya-Allah.
KAUM MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,
Sebagaimana yang kita ketahui, setiap insan di dunia ini pasti mengidamkan sebuah keluarga bahagia, yang menjamin kebahagiaan kehidupan di dunia dan akhirat. Tetapi kita mesti ingat bahawa hanya orang yang mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya sahaja yang dapat membahagiakan keluarga mereka. Dalam masyarakat Islam, suami atau bapa adalah ketua kepada sebuah keluarga. Maka suamilah orang pertama yang patut memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugas sebagai suami atau bapa untuk memimpin keluarga ke jalan yang diredhai Allah SWT. Apabila seorang suami atau bapa dapat menjalankan semua perintah Allah dan Rasul-Nya, maka patut pula diperhatikan dan diamalkan beberapa perkara berikut. Di antaranya ialah:
1. Mengajarkan ilmu agama kepada ahli keluarga secukupnya.
2. Biasakan sembahyang berjemaah bersama mereka.
3. Memohon keampunan untuk mereka.
4. Galakkan dan ajarkan mereka membaca al-Qur'an.
5. Sayangi dan kasihilah mereka.
6. Memberi mereka rezeki yang halal.
7. Luangkan masa bersama mereka.
8. Tidak membenarkan mereka melakukan perkara mungkar.
9. Mengadili mereka dengan cara yang baik.
10. Galakkan mereka agar saling bantu-membantu antara satu sama lain.
11. Ajar mereka agar menjadi se-orang yang pemaaf.
SIDANG JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Jika setiap suami mem-punyai peranan untuk memba-hagiakan keluarga, maka tidak terkecuali para isteri atau ibu bersama untuk menjalankan tanggungjawab ini. Antaranya ialah:
1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
2. Taat kepada suami.
3. Menghormati suami dan keluarganya.
4. Bermanis muka terhadap suami.
5. Melayan anak-anak dengan penuh kasih sayang.
6. Bersabar di atas segala dugaan.
7. Redha dengan segala kemudahan yang disediakan oleh suami.
8. Tidak membocorkan rahsia suami kepada orang lain.
9. Tidak mengaibkan suami.
10. Menjaga keharmonian rumahtangga.
Allah SWT berfirman:

Maksudnya:
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah kitab (al-Qur'an) yang jelas nyata ketera-ngannya. Dengan (al-Qur'an) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan (dengannya) Allah keluarkan mereka dari gelap gelita (kekufuran) kepada cahaya (iman dan Islam) yang terang benderang dengan izin-Nya, dan (dengannya juga) Allah menunjukkan mereka ke jalan yang lurus".
(Surah al-Maidah: 15-16).
SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI,
Sesungguhnya anak adalah anugerah Allah yang amat berharga dan besar nilainya kepada kita. Mereka adalah anugerah Allah yang perlu dididik dan diasuh sebaik mungkin, tetapi kadangkala ramai ibubapa yang terlupa dan me-ngabaikan tanggungjawab yang besar ini.
Kita sedar cabaran yang dihadapi oleh ibubapa dalam mendidik anak-anak pada hari ini sungguh hebat dan berat. Ia memerlukan banyak pengorbanan, kegigihan serta kesabaran yang tinggi. Oleh itu sewajarnya kita mengucapkan tahniah kepada para ibubapa yang telah bersusah payah mendidik dan membesarkan anak-anak sehingga dewasa dan menjadi anak-anak yang berguna. Semoga Allah SWT memberkati usaha mulia kita semua, sebagai tunggak keluarga kita seharusnya menunaikan amanah ini dengan sempurna sepertimana firman Allah SWT:

Maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya mengkhianati amanah itu)".
(Surah al-Anfal: 27).
SIDANG JUMAAT YANGBERBAHAGIA,
Kita percaya semua orang mahu anak-anak yang soleh, cerdik dan pintar, tetapi bagaimana kita boleh menjana generasi yang sedemikian? Oleh itu berdasarkan pengalaman para alim ulama dan mereka yang telah berjaya, ibubapa perlu mempunyai sekurang-kurangnya lima garis panduan utama dalam mendidik anak-anak mereka, iaitu:
1. Sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak mereka.
2. Membudayakan anak-anak dengan ilmu pengetahuan.
3. Mendisiplinkan anak-anak dengan hidup sihat dan sempurna.
4. Meningkatkan pe-ngetahuan keibubapaan dari masa ke semasa.
5. Menjadikan diri sebagai contoh terbaik kepada anak-anak.
Sebagai kesimpulan, untuk membentuk keluarga bahagia, kita tidak perlu lagi pergi jauh untuk mencari-cari ubat dan penawar kepada masalah tersebut. Kerana sesungguhnya sejarah telah membuktikan bahawa orang Islam yang berjaya membentuk keluarga bahagia itu ialah mereka yang benar-benar mematuhi kalam Allah dan sabda Rasulullah SAW. Justeru itu, siapa yang enggan tunduk kepada kehendak Allah dan Rasul-Nya, maka tidak akan berjaya membahagia diri mereka dan orang lain. Firman Allah:

Maksudnya:
"Setelah berlaku demikian, maka (manusia akan diberikan tempatnya menurut amal masing-masing); adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, maka dia berada dalam kehidupan yang senang linang. Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya ialah (neraka) Hawiyah."
(Surah al-Qari'ah: 6-9).
![]()
